KUALA LUMPUR – Perbicaraan kes saman fitnah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Ahli Parlimen Pendang Datuk Awang Solahuddin Hashim ditetapkan pada Oktober 2026 di Mahkamah Tinggi di sini.
Sepatutnya kes saman itu bermula pada 20 Januari ini namun ia telah dijadualkan semula pada Oktober tahun depan.
Perkara itu disahkan peguam Datuk SN Nair yang mewakili Anwar selepas pengurusan kes itu dalam kamar di hadapan Hakim Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh.
Menurut peguam itu, pihaknya memohon tarikh perbicaraan yang telah ditetapkan pada 20 dan 23 Januari serta 12 dan 13 Februari tahun ini dilapangkan berikutan anak guamnya mempunyai urusan rasmi di luar negara.
“Mahkamah kemudian menetapkan tarikh perbicaraan baharu pada 26 hingga 29 Oktober 2026. Plaintif (Anwar) akan menjadi saksi tunggal dalam perbicaraan kes saman itu,” katanya.
Sementara itu, peguam Mohd Faizi Che Abu yang mewakili Awang Solahuddin mengesahkan tarikh baharu perbicaraan itu dan memaklumkan pihak defendan akan mengemukakan tiga saksi.
Pada 3 Mac 2023, Anwar menfailkan saman fitnah terhadap Awang Solahuddin atas kenyataan yang didakwanya sebagai fitnah yang dibuat oleh Awang Solahuddin di lobi Parlimen semasa menghadiri persidangan Dewan Rakyat pada 21 Februari 2023.
Menurut Anwar, kenyataan tersebut yang dirakam dalam format audio dan video telah didedahkan kepada orang ramai.
Beliau berkata kenyataan itu antaranya membawa maksud beliau yang mempunyai sifat pendendam serta membalas dendam telah menyalah guna kuasa sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dengan mencampuri, mengganggu serta sewenang-wenangnya memberi arahan kepada agensi penguatkuasaan undang-undang dan pendakwaan di Malaysia untuk mencapai agenda politik peribadi.
Anwar mendakwa Awang Solahuddin sengaja dan berniat jahat mengucap serta menerbitkan kenyataan fitnah itu untuk menghasut orang ramai serta menimbulkan kebencian peribadi terhadap plaintif yang kini ketua Kerajaan Perpaduan yang sah dan komited untuk membasmi segala bentuk rasuah.
Beliau berkata kenyataan fitnah itu memusnahkan reputasinya sebagai pemimpin yang dihormati di Malaysia serta di peringkat antarabangsa.
Oleh itu, Anwar menuntut antaranya ganti rugi am, teruk, teladan, ganti rugi pampasan selain perintah injunksi untuk menghalang defendan, ejen atau wakilnya daripada terus menerbitkan atau mengedarkan kenyataan yang didakwanya sebagai fitnah itu. – KOSMO! ONLINE