TAMPIN – Seorang jurutera yang membuat laporan palsu kononnya disamun dengan kereta Audi miliknya dilarikan di Rembau bulan lalu dijatuhi hukuman denda sebanyak RM1,200 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Hukuman ke atas tertuduh, S Ravi Kumar, 42, dibuat selepas lelaki itu mengaku bersalah di hadapan Majistret Kartini Kasran. Majistret turut memerintahkan tertuduh dipenjara tiga bulan jika gagal membayar denda.
Tertuduh didakwa membuat laporan palsu menyatakan disamun pada pukul 3.45 petang, 22 Disember lalu di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rembau.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh memberi keterangan palsu berkaitan kejadian pada pukul 10.30 malam, 20 Disember bahawa dia disamun dua lelaki ketika memberhentikan kereta Audi A4 berwarna putih di Jalan Seremban Tampin sebelum di bawah ke satu lorong dan disamun.
Tertuduh mendakwa kehilangan dompet dan telefon bimbit manakala keretanya dilarikan.
Siasatan mendapati tertuduh bertindak demikian kerana mahu membuat tuntutan insurans atas kehilangan kereta kerana sudah tidak mahu menggunakan kenderaan tersebut. – KOSMO! ONLINE