SEOUL – Syarikat penerbangan Jeju Air akan mengurangkan operasi penerbangan seawal minggu depan sebagai tindak balas kepada kebimbangan yang semakin meningkat terhadap isu keselamatan susulan nahas maut minggu lalu, lapor portal berita Social News XYZ.
Ketua Pejabat Sokongan Pengurusan Jeju Air, Song Kyung-hoon berkata, syarikat itu bersedia untuk melaksanakan pengurangan operasi penerbangan domestik seawal minggu depan, manakala laluan antarabangsa bermula pada minggu ketiga bulan ini.
Pesawat Jeju Air Boeing 737-800 yang terhempas pada Ahad lalu dipercayai berpunca daripada kerosakan gear pendaratan.
Nahas itu sekali gus menimbulkan kebimbangan bahawa syarikat tersebut mengutamakan operasi berbanding tempoh penyelenggaraan yang mencukupi, sehingga berisiko menjejaskan keselamatan.
Pesawat yang terlibat dalam nahas meragut 179 nyawa itu didapati mengendalikan 13 penerbangan dalam tempoh 48 jam sebelum kejadian.
Sebelum ini, Jeju Air mengumumkan rancangan untuk mengurangkan operasi penerbangan sebanyak 10 hingga 15 peratus menjelang Mac bagi meningkatkan keselamatan operasi.
Kyung-hoon turut mengakui pembatalan tiket penerbangan terus meningkat berbanding sebelum ini, namun tempahan baharu masih diterima. – AGENSI