GOMBAK – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd. Na’im Mokhtar mengarahkan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) meneliti semula aspek keselamatan masjid-masjid dibawah pengawasannya.
Ia termasuk termasuk kemungkinan membenarkan pihak pengurusan setiap masjid dibawah pengawasan Jawi untuk mengupah pengawal keselamatan.
Arahan itu susulan insiden seorang lelaki dipercayai mengalami masalah mental mengganggu jemaah serta merosakkan harta benda di masjid Taman Tun Dr. Ismail (TTDI) di ibu negara awal pagi kelmarin.
“Kita sedia maklum masjid di TTDI di kawasan elit, jadi mungkin mereka ada kekuatan kewangan untuk ambil pengawal keselamatan. Kita nak tengok daripada sudut prosedur operasi standard (SOP) sejauh mana boleh benarkan masjid dibawah Jawi ambil pengawal keselamatan sendiri.
“Bagaimanapun persoalan timbul bagaimana pihak itu (lelaki itu) terlepas masuk tanpa pengetahuan pengawal keselamatan. Saya kena tengok dulu daripada sudut tersebut,” kata Mohd. Na’im ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Kompleks Akademik Kolej Universiti Antarabangsa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan(MAIWP) – Kolej Universiti Antarabangsa MAIWP (UCMI) di sini hari ini.
Kosmo! Online sebelum ini melaporkan seorang lelaki tempatan yang mengalami masalah mental ditahan selepas mengganggu jemaah serta merosakkan harta benda di masjid TTDI pada 1 Januari lalu.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood dipetik berkata, lelaki berusia 25 tahun itu merosakkan satu unit televisyen dan satu unit kerusi sekitar pukul 5.40 pagi.
Suspek dilaporkan tidak menerima rawatan susulan sejak kali terakhir mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada Januari 2023 dan satu rakaman video berdurasi 2 minit 46 saat memaparkan kejadian tersebut tular di media sosial.
Terdahulu, Mohd. Na’im berkata, laporan polis berhubung insiden berkenaan telah dibuat dan beliau turut mengarahkan Pengarah Jawi untuk membuat siasatan termasuk berkenaan aspek keselamatan di masjid yang perlu ditambah baik.
Katanya, supaya semua pihak perlu berhati-hati dalam isu sensitif tersebut dengan mengelak daripada menimbulkan provokosi yang boleh menimbulkan kemarahan.
“Semua pihak tanpa mengira agama dan bangsa perlu menghormati rumah ibadah. Ini tanggungjawab kita. Jadi kita kena hati-hati dan saya harap pihak polis dapat jalankan siasatan rapi. – KOSMO! ONLINE