PETALING JAYA – “Saya hormati keputusan mahkamah dan syukur pihak polis cepat bertindak.”
Demikian kata-kata penyanyi Baby Shima yang berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Majistret Sibu menjatuhkan hukuman denda RM4,000 terhadap seorang pemandu lori atas pertuduhan melakukan ugutan jenayah terhadap dirinya.
Malah, Shima atau nama sebenarnya Nor Ashima Ramli, 29, berharap kejadian tersebut menjadi pengajaran kepada orang lain.
“Saya hormati keputusan mahkamah dan saya berterima kasih kepada pihak polis kerana cepat mengambil tindakan serta menjaga keselamatan saya.
“Jangan taksub dan percaya dengan fitnah serta jadi batu api.
“Semoga menjadi pengajaran kepada orang ramai,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online.
Pada masa sama, pelantun lagu Makan Hati itu turut menasihati netizen agar dapat menjaga penulisan dalam media sosial supaya tidak makan diri.
“Tak suka saya tidak mengapa tetapi jaga jari sebab apa yang kalian taip boleh bawa padah.
“Hati-hati bila menaip sebab apa yang kita hina, burukkan atau fitnah ada akta dalam undang-undang,” ujarnya.
Berkongsi lanjut, Shima akan lebih berwaspada ketika berada di luar selain yakin tidak akan terjadi perkara buruk kepada dirinya.
“Selepas ini saya harus lebih berhati-hati tetapi insya-Allah mudah-mudahan tiada apa-apa terjadi,” jelasnya.
Hari ini, tertuduh Mel Maxpherson Munded, 35, mengaku bersalah di hadapan Majistret Oon Kork Chern atas pertuduhan melakukan ugutan jenayah terhadap Shima.
Bagaimanapun, Mel Maxpherson yang tidak diwakili peguam membayar denda tersebut dan dibebaskan.
Pada 30 Disember lalu, Mel melontarkan komen berbaur ugutan bunuh ke atas Shima dalam Facebook dan ditahan pihak berkuasa. – KOSMO! ONLINE