fbpx

Huru-hara malam tahun baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANGGOTA polis mengawal lokasi serangan rempuhan di New Orleans kelmarin. - AFP

WASHINGTON – Tahun Baharu 2025 bermula dengan huru-hara apabila berbilang insiden berdarah yang meragut nyawa berlaku di beberapa negara. 

Amerika Syarikat (AS) menyaksikan kedatangan 2025 bermula dengan serangan ganas apabila seorang lelaki memandu secara melulu ke arah sekumpulan orang ramai yang menyambut tahun baharu di New Orleans, Louisiana. Ia menyebabkan 15 orang maut dan berpuluh-puluh lagi cedera kelmarin. 

Menurut Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI), suspek warga AS dari Texas memandu sebuah trak pikap berwarna putih yang mempunyai bendera Daesh ketika sekumpulan orang ramai menyambut Tahun Baharu di French Quarter.

Ia merupakan daerah pelancongan paling ikonik di bandar dalam negeri Louisiana itu pada kira-kira pukul 3.15 pagi (waktu tempatan).

Suspek merempuh orang ramai menggunakan kenderaan itu sebelum melepaskan tembakan, namun dia kemudian mati ditembak oleh polis.

Pegawai berkata, trak pikap itu mempunyai bendera Daesh dan polis turut menemui dua alat letupan buatan sendiri.

Menurut FBI, suspek dikenali sebagai Shamsud-Din Jabbar, 42. Dia merupakan veteran tentera AS yang telah tamat perkhidmatan dengan cara terhormat dan pernah ditempatkan di Afghanistan dari 2009 hingga 2010.

Di Las Vegas, Nevada, sebuah kenderaan Tesla Cybertruck meletup di luar sebuah hotel milik bakal Presiden, Donald Trump dan membunuh sekurang-kurangnya seorang serta mencederakan tujuh yang lain.

Presiden Joe Biden berkata, pihak berkuasa sedang menyiasat kebarangkalian adanya kaitan antara letupan di Las Vegas dan serangan di New Orleans.

Di Hawaii pula, letupan bunga api pada malam tahun baharu di sebuah kawasan kejiranan di Honolulu membunuh sekurang-kurangnya tiga orang dan mencederakan 20 yang lain.

Dua orang diisytiharkan mati di tempat kejadian, manakala 20 lagi mangsa dihantar ke hospital, demikian menurut Perkhidmatan Perubatan Kecemasan Honolulu.

Sementara itu, lima orang maut di seluruh Jerman dan seorang pegawai polis cedera parah akibat beberapa insiden yang dikaitkan dengan bunga api sempena sambutan tahun baharu, kata polis.

Antara yang terbunuh ialah dua orang di negeri Saxony, lapor penyiar tempatan, MDR. Ia termasuk seorang lelaki berusia 45 tahun yang terbunuh selepas mengendalikan apa yang disifatkan sebagai ‘bom bunga api’.

Di ibu negara, Berlin, anggota bomba bertindak balas terhadap 1,892 insiden pada malam tahun baharu, 294 lebih banyak berbanding tahun sebelumnya, demikian menurut kenyataan jabatan bomba bandar itu. 

“Sekurang-kurangnya 13 serangan ke atas pekerja kecemasan turut dilaporkan,” kata kenyataan itu.

Menurut jurucakap polis Berlin, Florian Nath, 330 orang ditahan di ibu negara pada malam tahun baharu, manakala seorang pegawai polis cedera parah, berkemungkinan akibat terkena bunga api yang dinyalakan secara haram. 

Di Montenegro, sekurang-kurangnya 12 orang termasuk dua kanak-kanak terbunuh apabila seorang lelaki melepaskan tembakan di sebuah restoran berhampiran bandar Cetinje, kata pihak berkuasa.

“Polis melancarkan gerakan memburu suspek selama berjam-jam tetapi dia menembak dirinya sendiri apabila dikepung,” kata Ketua Polis, Lazar Scepanovic. – AFP/AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI