Baru-baru ini, tular isu pembekuan bayi yang disiarkan dalam media sosial yang telah menimbulkan pelbagai kekeliruan dalam masyarakat. Apa pandangan Datuk berkaitan isu ini? Mohon penjelasan.
Jawapan: Baru-baru ini, tular suatu berita berkenaan tindakan sebuah hospital swasta yang didakwa menahan dan membekukan jenazah bayi selama dua minggu hanya kerana pesakit tidak mampu membayar kos kelahiran bayi tersebut. Kami tidak mahu menyentuh tentang apa yang berlaku kerana tidak ada maklumat berkaitan hal berkenaan secara terperinci.
Cuma di sini, kami kongsikan pandangan Islam secara umum yang menuntut umatnya supaya mempercepatkan proses pengurusan jenazah sebagaimana yang dinyatakan dalam hadis riwayat Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda: “Segerakanlah dengan jenazah. Sekiranya dia merupakan jenazah yang soleh, nescaya dia merupakan suatu kebaikan yang kamu hantarkan ia padanya.
Namun sekiranya dia tidak soleh, maka itu suatu keburukan yang kamu pikul di atas bahu-bahu kamu.” (Riwayat Muslim)
Imam al-Nawawi dalam syarahnya menyatakan bahawa hadis ini menyarankan supaya pengurusan jenazah dapat disegerakan kerana terdapat hikmah sebagaimana yang dinyatakan oleh Baginda SAW.
Bahkan menurut para ulama mazhab al-Syafi’i, menyegerakan pengurusan jenazah merupakan perkara yang sunat.
Tetapi jikalau penangguhan tersebut menyebabkan berlakunya perubahan pada tubuh jenazah, maka hukum mempercepatkan pengurusan jenazah tersebut menjadi wajib.
Dalam isu melewatkan pengurusan jenazah, ulama mazhab al-Syafi’i tidak membenarkan melewatkan pengurusan jenazah melainkan untuk menunggu wali atau ahli keluarga yang terdekat, selagi mana ia tidak mengubah keadaan jenazah. Selain itu, jika kelewatan tersebut disebabkan suatu maslahah tertentu, maka ia dibenarkan. Imam al-Ramli berkata: “Penangguhan yang sedikit dan mempunyai manfaat untuk si mati tidak sepatutnya dihalang.”
Perkara kedua isu pembekuan mayat sebagaimana yang dipertanyakan, pada dasarnya, manusia merupakan makhluk ciptaan Allah SWT yang dimuliakan dan dihormati semasa hidupnya mahupun telah pergi meninggalkan dunia ini. Ini berdasarkan firman Allah SWT: “Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan.” (Surah al-Isra’, 70)
Oleh itu, dalam melaksanakan proses pengurusan jenazah, ia mestilah dilakukan dalam keadaan penuh cermat dan berhati-hati supaya tidak menyakiti jenazah. Hal ini kerana menyakiti jenazah sama seperti menyakiti orang yang hidup.
Saidatina ‘Aishah RA meriwayatkan sebuah hadis daripada Nabi SAW, sabdanya: “Sesungguhnya mematahkan tulang orang beriman yang telah mati seperti mematahkan tulang orang beriman yang masih hidup.” (Riwayat Abu Daud)
Syeikh al-‘Azim Abadi menukilkan pandangan al-Tibi berkenaan hadis ini.
Al-Tibi berkata bahawa padanya terdapat isyarat agar tidak dihina mayat orang yang telah mati sebagaimana dia tidak dihinakan ketika masih hidup.
Perbuatan menyakiti jenazah dikira sebagai suatu bentuk penganiayaan dan amat menyalahi hukum syarak kecuali ada sebab-sebab darurat tertentu, maka ia diharuskan sekadar keperluan darurat tersebut.
Kesimpulan, jelas hukum syarak telah menetapkan bahawa pengurusan jenazah sunat dilakukan sesegera mungkin merangkumi semua tatacara pengurusan bermula daripada proses pemandian, solat hinggalah ke pengebumian jenazah.
Tetapi jika penangguhan tersebut menyebabkan berlakunya perubahan pada tubuh jenazah, maka hukum mempercepatkan pengurusan jenazah tersebut menjadi wajib.
Selain itu, diharamkan menyakiti jenazah kerana manusia merupakan makhluk yang dimuliakan dan menyakiti jenazah adalah sama seperti mana menyakitinya ketika hidup.
Sebagaimana maklum, proses pembedahan, pembekuan dan pengawetan merupakan salah satu bentuk perbuatan yang menyakiti jenazah.
Namun, dalam situasi sekiranya terdapat keperluan mendesak, maka harus melakukannya dengan syarat ia mestilah dilakukan secara penuh berhati-hati mengikut keperluan dan berlandaskan prosedur ditetapkan oleh pihak berautoriti.
Selain itu, pengurusan tersebut mestilah dilakukan secara tertutup dan menjaga aib jenazah serta haram menyiarkannya secara terbuka.