PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) menjangkakan hujan lebat dan angin kencang melanda beberapa negeri di Semenanjung, Sabah dan Sarawak sehingga pukul 6 petang ini.
MetMalaysia memaklumkan, negeri-negeri yang terlibat termasuk Perak, Pahang, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Sarawak dan Sabah.
“Di Perak, kawasan yang dijangka terjejas ialah Kerian, Larut, Matang dan Selama, Kuala Kangsar, Manjung, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Bagan Datuk, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim.
“Bagi Pahang, ribut petir melibatkan daerah Raub dan Bentong, manakala di Selangor meliputi Hulu Selangor, Gombak dan Hulu Langat serta keseluruhan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur,” jelasnya.
Di Negeri Sembilan dan Melaka, cuaca buruk diramalkan menyeluruh, sementara di Johor kawasan yang terlibat ialah Tangkak, Segamat, Muar, Batu Pahat dan Kluang.
Sarawak pula dijangka mengalami ribut petir di kawasan Sri Aman, Betong (Betong), Sibu (Kanowit dan Selangau), Mukah (Mukah), Kapit (Song dan Kapit), Bintulu (Tatau dan Bintulu), serta Limbang.
“Di Sabah, ribut petir diramalkan melanda kawasan Pedalaman seperti Sipitang, Tenom, Beaufort, Keningau dan Tambunan, serta Pantai Barat melibatkan Papar, Putatan, Penampang, Kota Kinabalu, Tuaran dan Ranau, selain kawasan Tawau,” tambahnya.
Penduduk di kawasan terlibat diingatkan untuk berwaspada terhadap risiko banjir kilat, pokok tumbang dan kerosakan harta benda akibat angin kencang. – KOSMO! ONLINE