fbpx

Hormati titah YDPA, UMNO batalkan himpunan Isnin ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Asyraf Wajdi.

PETALING JAYA – Atas prinsip menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong dan sebagaimana arahan Ketua Polis Negara, UMNO mengambil keputusan untuk tidak meneruskan perhimpunan Isnin ini.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dasuki berkata, parti itu menaruh sepenuh keyakinan atas keihsanan dan kebijaksanaan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam memberikan keadilan penuh kepada Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.

Katanya, UMNO juga ingin merakamkan penghargaan tinggi kepada seluruh Ahli UMNO yang sudahpun menyatakan komitmen tinggi untuk memberikan sokongan moral walaupun tiada arahan rasmi daripada ibu pejabat UMNO sebelum ini.

“UMNO dengan penuh kerendahan diri akur atas segala saranan Titah Tuanku agar menghormati kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong untuk menggunakan saluran perundangan yang ditetapkan dengan mengemukakan rayuan terhadap bekas Perdana Menteri yang banyak jasanya pada rakyat dan negara.

“UMNO tidak akan sesekali membelakangi Perlembagaan dan tetap menghormati apa jua peraturan dan undang-undang yang ditetapkan sebagaimana Titah Tuanku Yang di-Pertuan Agong,” katanya melalui satu kenyataan malam ini.

Tambah Asyraf, sebagai satu-satunya parti yang konsisten memperjuangkan dan mempertahankan Institusi Raja-Raja Melayu sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Parti, UMNO sentiasa meletakkan keutamaan dan penghormatan tertinggi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI