KUALA LUMPUR – Polis akan memanggil Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh untuk direkod keterangan berhubung isu buku ‘Becoming Hannah’.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, sebanyak 157 laporan polis diterima di seluruh negara dengan lapan daripadanya dibuat di Kuala Lumpur.
“Kita telah rekod keterangan 45 individu. Buat masa ini, Hannah Yeoh belum dirakam keterangan. Dalam masa terdekat,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini hari ini.
Pada 30 Januari 2020, Hannah dilaporkan memfailkan saman terhadap Musa berhubung kenyataan dibuat semasa ucapannya dalam satu forum Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Beliau mendakwa, Musa antara lain menuduhnya menulis buku ‘Becoming Hannah’ untuk menjadikan Malaysia sebagai negara Kristian, mempunyai hubungan dengan pendakwah Evangelis dan Yahudi untuk merosakkan Islam serta Malaysia selain mengutamakan kepentingan peribadi melebihi kepentingan negara.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 23 Disember lalu bagaimanapun menolak saman fitnah yang difailkan Ahli Parlimen Segambut itu.
Hannah kemudian memfailkan rayuan pada 26 Disember susulan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak saman tersebut.
Menerusi hantaran di Facebook, Hannah berkata, semua pihak harus menghormati proses kehakiman dan tidak mempolitikkan isu tersebut.
Ahli Parlimen Segambut itu memberitahu, beliau dinasihatkan peguamnya bahawa belum ada alasan penghakiman bertulis penuh yang dikemukakan oleh Mahkamah Tinggi. -KOSMO! ONLINE.