KUALA SELANGOR – Seorang guru wanita Sekolah Rendah Agama (SRA) yang dalam perjalanan tempat kerja maut tercampak apabila motosikal ditungganginya dilanggar sebuah kereta dalam kejadian di Jalan Tali Air 4, Ban 2 di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.45 tenagah hari itu, mangsa berusia 46 tahun yang parah di perut disahkan meninggal dunia ketika perjalanan ke Hospital Tanjong Karang.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Azaharudin Tajudin berkata, pihaknya menerima pemakluman kemalangan maut itu daripada hospital berkenaan kira-kira pukul 3.52 petang, hari sama.
Katanya, siasatan mendapati kemalangan berlaku ketika mangsa yang menunggang motosikal Honda Wave dalam perjalanan ke sekolahnya dari Tanjong Karang.
“Motosikal ditunggangi mangsa telah dilanggar sebuah kereta jenis Perodua Kenari dipandu pengusaha inap desa yang dari arah Jalan Klang-Teluk Intan.
“Impak pelanggaran menyebabkan mangsa tercampak ke sisi kanan dan para di bahagian perut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menambah, mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia ketika dibawa ke Hospital Tanjong Karang.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Justeru, Azaharudin meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian itu dan mempunyai maklumat lanjut untuk menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah ini ditalian 03-32891222 atau mana-mana balai polis berhampiran. – KOSMO! ONLINE