JOHOR BAHRU – Tiga lelaki yang terlibat kes pecah rumah dan curi kenderaan dikenali Geng Atan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas tuduhan melakukan pecah rumah.
Tertuduh, Mah Mun Fei, 46; Liew Siong Khan, 42 dan Teo Kiam Hong, 48, membuat pengakuan itu dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Hidayatul Syuhada Shamsudin.
Mun Fei didakwa menyimpan harta curi sekeping kad pengenalan atas nama seorang wanita.
Siong Khan pula dituduh melupuskan harta curi dua bentuk cincin emas, seutas rantai emas dan satu loket emas milik wanita di sebuah kedai emas di Jalan Kota Tinggi-Jalan Pandan di sini, pukul 4 petang, 14 Disember lalu.
Kiam Hong didakwa atas lima tuduhan menerima atau menyimpan harta curi sebentuk cincin dan dua gelang tangan berwarna kuning keemasan milik seorang lelaki serta memiliki nombor pendaftaran kenderaan lain.
Dia turut didakwa menyimpan Honda H-RV milik seorang wanita dengan sengaja melupuskan peti besi dan menyimpan beg jerut serta alat permainan video milik seorang lelaki yang mana tertuduh mengetahui semua harta itu adalah harta curi.
Semua tertuduh dibenarkan ikat jamin masing-masing Mun Fei dengan RM7,000 diikuti Siong Khan (RM8,000) dan Kiam Hong (RM25,000).
Di Mahkamah Sesyen berasingan pula, ketiga-tiga tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengambil dadah amphetamine dan methamphetamine selain mempunyai kes sabitan terdahulu. – KOSMO! ONLINE