NAIROBI – Penduduk sebuah kampung di Kenya terkejut melihat sebuah gegelung logam gergasi seberat 500 kilogram yang sebahagiannya terbakar, jatuh dari langit, lapor akhbar Metro UK semalam.
Serpihan dari angkasa lepas berdiameter kira-kira dua meter itu jatuh dengan disusuli dentuman kuat di Mukuku, yang terletak antara bandar ibu kota, Nairobi dan Mombasa.
Tiada bangunan yang rosak mahupun mangsa cedera tetapi ia menggerunkan penduduk setempat yang melihat atau mendengarnya jatuh dari langit pada Isnin lalu.
Seorang wanita memberitahu laman berita Tuko: “Kami mendengar dentuman kuat. Objek logam itu kemudiannya jatuh dan mengeluarkan bunyi yang menakutkan.”
Seorang lagi lagi penduduk berkata, bunyi letupan daripada objek tersebut menyebabkan dia menyangka dunia akan berakhir.
Setakat ini, tiada maklumat rasmi mengenai objek tersebut, namun Agensi Angkasa Kenya percaya bahawa ia adalah gegelung pemisah roket yang dilancar.
“Objek sedemikian biasanya direka untuk terbakar apabila ia memasuki semula atmosfera Bumi atau jatuh ke kawasan yang tidak berpenghuni seperti lautan,” kata kenyataan agensi tersebut.
Tambahnya, ia adalah kes terpencil tetapi peningkatan dalam perjalanan angkasa telah menyebabkan peningkatan serpihan angkasa yang jatuh ke Bumi. – AGENSI