LONDON – Pengurus Arsenal, Mikel Arteta mendedahkan persiapan skuadnya untuk kemenangan 3-1 ke atas Brentford pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), Rabu lalu hampir terganggu akibat serangan virus yang melanda sehari sebelum perlawanan.
Beberapa pemain utama, termasuk Kai Havertz dan Declan Rice, terkesan dengan wabak tersebut dengan Havertz dihantar pulang ke London selepas menunjukkan gejala serius, manakala Rice hanya dapat tampil sebagai pemain gantian di babak kedua.
Kapten pasukan, Martin Odegaard turut bergelut dengan virus tersebut, tetapi tetap diturunkan sebagai kesebelasan utama, sebelum kesilapannya membawa kepada gol awal Brentford oleh Bryan Mbeumo sebelum dia digantikan selepas rehat.
“Ini bukan sesuatu yang serius, tetapi sangat mengganggu. Kai jelas tidak sihat, jadi kami membuat keputusan untuk menjauhkan dia daripada pasukan serta menghantarnya pulang. Virus ini telah memberi kesan kepada pemain di dalam dan di luar padang,” kata Arteta.
Meskipun berdepan cabaran tersebut, Arsenal bangkit di Stadium Komuniti Gtech dengan gol daripada Gabriel Jesus, Mikel Merino dan Gabriel Martinelli memastikan kemenangan yang mengekalkan tekanan terhadap pendahulu liga, Liverpool.
“Pasukan menunjukkan karakter luar biasa hari ini. Dengan segala cabaran, mereka tetap memberikan aksi terbaik,” tambah Arteta.
Kemenangan itu menyaksikan Arsenal merapatkan jurang kepada enam mata di belakang Liverpool, yang masih memiliki satu perlawanan dalam tangan. – AGENSI