LIVERPOOL – Pendahulu Liga Perdana Inggeris, Liverpool dilapor kekal dengan pendirian untuk tidak mengeluarkan dana besar bagi mendapatkan pemain pada jendela perpindahan musim sejuk kali ini.
Skuad kendalian Arne Slot ketika ini selesa mendahului saingan dengan kelebihan lapan mata dan kekurangan satu perlawanan dengan prestasi para pemain berada pada tahap terbaik untuk terus konsisten pada baki saingan.
Jendela perpindahan musim panas lalu menyaksikan Liverpool tidak begitu aktif di pasaran apabila gagal mendapatkan pemain buruan, Martin Zubimendi sebaliknya mereka hanya berjaya membawa masuk Federico Chiesa.
Seorang lagi pemain di posisi penjaga gol, Giorgi Mamardashvili yang dibeli, namun dibenarkan untuk kekal bersama pasukan lamanya, Valencia sebagai pemain pinjaman sehingga musim ini berakhir.
Para peminat Liverpool, mendesak Slot dan pihak pengurusan untuk lebih aktif di pasaran perpindahan Januari kerana bimbang pasukan itu bakal berdepan krisis kecederaan pemain sebagai jendela tersebut ditutup.
Ketika ini, mereka telah kehilangan Joe Gomez, Ibrahima Konate, Connor Bradley dan Chiesa ketika Liverpool berdepan jadual perlawanan yang pada menyebabkan peminat merasakan mereka perlu membawa masuk pemain baharu.
Bagaimanapun, pihak pengurusan Liverpool dipercayai tidak akan membuat sebarang pembelian kekal, sebaliknya mungkin hanya membawa masuk pemain berstatus pinjaman selain memberi fokus untuk melanjutkan kontrak beberapa pemain utama mereka. – AGENSI