KUALA LUMPUR – Kira-kira enam calon ketua jurulatih beregu lelaki baharu dalam radar Persatuan Badminton Malaysia (BAM) termasuk beberapa pengendali tempatan dan luar negara bagi mengisi kekosongan yang bakal ditinggalkan oleh Tan Bin Shen.
Pengarah Kejurulatihan BAM, Rexy Mainaky berkata, antara nama berada dalam senarai adalah pemenang pingat perak Sukan Olimpik Atlanta 1996, Yap Kim Hock selain bekas gandingan nombor satu dunia, Koo Kien Keat dan Tan Boon Heong serta Lee Wan Wah.
Katanya, proses pemilihan jurulatih baharu masih lagi dalam perbincangan untuk memilih calon benar-benar layak mengambil alih tempat Bin Shen yang akan melepaskan jawatannya pada 13 Januari ini.
“Saya ada melakukan perbincangan dan juga menghubungi dengan beberapa jurulatih tempatan seperti Kim Hock, Wan Wah dan beberapa bekas pemain yang saya pernah latih sebelum ini (Kien Keat dan Boon Heong).
“Seperti Wan Wah, dia adalah jurulatih Jepun, Boon Heong pula kita tahu dia ada akademi badminton sendiri, manakala Kien Keat pernah menjadi jurulatih Akademi Badminton Granular di Thailand.
“Jadi mereka semua ada pengalaman. Buat masa ini, saya hanya katakan bahawa kita sedang mencari jurulatih baharu. Kira-kira lima hingga enam orang saya telah hubungi,” kata Rexy ketika ditemui selepas sesi latihan skuad negara di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara hari ini.
Biarpun jurulatih berpengalaman dari Indonesia, Herry Iman Pierngadi dikaitkan akan ke Malaysia selepas dihubungi BAM baru-baru ini tetapi Rexy berkata, masih belum ada sebarang keputusan pelantikan ketua jurulatih beregu lelaki negara.
Menurut Rexy, keputusan pemilihan jurulatih baharu bukan di tangannya sahaja, sebaliknya perlu persetujuan semua termasuk pengurusan tertinggi BAM.
“Bukan saya seorang sahaja yang buat keputusan, sebaliknya kita bincang dan mengambil kira semua pandangan semua pihak. Sebaik kita selesai, kita akan umumkan. Jadi, kita serahkan kepada bahagian pengurusan untuk membuat keputusan akhir,” katanya. – KOSMO! ONLINE