PUTRAJAYA – Perkhidmatan lebih cekap kepada rakyat menjadi keutamaan kerajaan termasuk mengurangkan tempoh kepada seminggu bagi kelulusan dalam urusan kerajaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebelum ini, Ketua Setiausaha Negara menjelaskan proses itu memerlukan masa selama berbulan-bulan sebelum ini, namun disingkatkan kepada beberapa minggu sahaja ketika ini.
“Maka tujuan yang berikutnya adalah untuk mengurangkan dari beberapa minggu kepada satu minggu.
“Apakah ini mungkin? Saya percaya mungkin. Ini yang menjadi cabaran buat kita. Apakah perlu rakyat kita untuk mendapat lesen memperbaharui lesen, harus beratur berjam-jam dan mengambil cuti satu hari,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Tahun Baharu bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini, hari ini.
Katanya, proses menunggu lama tersebut dapat dikurangkan menerusi kaedah transformasi digital.
“Hal ini boleh dilakukan melalui proses yang disebut transformasi digital atau hadir dalam masa singkat dengan jadual ditentukan supaya mereka boleh datang dan terus dapat temu janji dan jalankan tugas,” katanya. – KOSMO! ONLINE