PETALING JAYA – Didakwa hamil anak ketiga, usahawan selebriti terkenal Neelofa tampil menyangkal spekulasi tersebut bagi mengelakkan terus menjadi bualan ramai.
Menurut Neelofa atau Noor Neelofa Mohd. Noor, 35, badannya kelihatan berisi bukan kerana hamil sebaliknya gemar menikmati makanan Thailand.
“Perut berisi tomyam dan ikan stim limau,” selorohnya dalam ruangan komen.
Dakwaan tersebut timbul apabila seorang individu tertanya-tanya melihat perubahan fizikal bekas pengacara MeleTop itu.
“Giliran Abbas jadi abang pula ke? Tengok macam Neelofa tengah berisi,” kata peminat itu.
Ini bukan kali pertama netizen mendakwa Neelofa berbadan dua terutama selepas melihat perubahan fizikal pelakon terbabit.
Sebelum ini, Neelofa dan Haris mendirikan rumah tangga pada 26 Mac 2021 dan dikurniakan dua orang anak, Muhammad Bilal, 3, dan Abdullah Abbas, 1. – KOSMO! ONLINE