fbpx

Bawa anak, isteri edar dadah ambang tahun baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hussein menunjukkan antara suspek yang ditahan dalam operasi pada ambang tahun baharu. FOTO AFIQ RAZALI/ KOSMO!

SHAH ALAM – Tiga beranak antara lima suspek yang ditahan kerana mengedar dadah bernilai lebih RM1.08 juta pada malam ambang tahun baharu baru-baru ini.

Mereka yang bekerja sebagai penghantar barang, tukang masak kantin dan pembekal bahan binaan berusia belasan hingga 47 tahun diberkas di Klang, Setia Alam dan Ampang Jaya.

Dalam operasi selama tiga jam bermula pukul 6.40 petang itu, polis merampas pelbagai dadah jenis syabu, ketamin, ekstasi, heroin, ganja dan methylenedioxymethamphetamine (MDMA) dengan berat keseluruhan 15.5 kilogram (kg) dan 2.24 liter.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan mendapati salah seorang suspek lelaki itu berperanan sebagai penghantar dadah.

Suspek menggunakan kereta Proton Saga bagi tujuan tersebut pada malam tahun baru.

“Siasatan mendapati hanya suspek lelaki terlibat, namun dia menggunakan isteri dan ahli keluarga untuk bergerak bagi proses penghantaran 316 gram (g) ganja.

“Kita turut menahan seorang pengedar di sebuah kondominium di Ampang Jaya bersama 6.4 kg ganja dan wang tunai,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini hari ini.

Beliau, berkata hasil siasatan awal mendapati suspek aktif sejak sembilan lalu berdasarkan tempoh menyewa kondominium sebanyak RM2,100 sebulan.

Hussein memberitahu, seorang lagi suspek bagi kes lain yang ditahan didapati menjadikan rumah sewa sebagai makmal dadah selepas polis menjumpai peralatan pemprosesan ekstasi di kediaman tersebut.

“Suspek berstatus duda dipercayai mempelajari teknik proses dadah melalui media sosial termasuk YouTube. Namun, kedua-kedua kes ini bukan daripada sindiket sama,” ujarnya.

Polis turut menyita kenderaaan utiliti sukan (SUV) jenis Proton X70 dan wang tunai RM187,813.

“Semakan mendapati hanya dua daripada lima suspek mempunyai rekod jenayah dan seorang positif dadah delta-9 tetrahydrocannabinol (THC).

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, trend menunjukkan pengedaran dadah dilakukan secara solo atau dalam kumpulan kecil.

“Mereka menggunakan media sosial untuk pembelian, pemprosesan dan pengedaran dadah.

“Mereka ada komuniti sendiri dan tidak mengenali secara fizikal dengan pembayaran secara online. Jadi, pengedar dadah kini semakin licik,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI