PETALING JAYA – Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) mengesahkan kesilapan pentadbiran daripada badan induk itu menyebabkan rekod 100 meter (m) kebangsaan milik ratu pecut negara, Zaidatul Husniah Zulkifli pada Oktober lalu tidak diiktiraf oleh Olahraga Dunia (WA).
Atlet kelahiran Alor Setar, Husniah mencipta rekod itu pada Terbuka Perlis Cahya Mata Sarawak Super Series V di Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar dengan masa 11.49 saat (s), memadam rekod lama 11.50s milik legenda negara, G. Shanti yang bertahan sejak 1993.
Pengarah Teknikal Kejurulatihan KOM, Robert Ballard mengesahkan rekod milik Zaidatul masih belum diiktiraf WA disebabkan gagal mengemukakan data bacaan angin yang diperlukan untuk pengesahan rekod tersebut.
“Saya masih di Australia dan akan kembali (Malaysia) pada Isnin ini. Apa yang boleh saya katakan ini adalah kesilapan pentadbiran.
“Sebenarnya, semua bacaan angin untuk acara pecut, lompat dan lari berpagar di Kejohanan Perlis itu ‘hilang’ dalam laporan keputusan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Ballard juga menjelaskan KOM akan melakukan pembetulan segera di mana badan induk itu sedang mengumpul bacaan angin tersebut untuk dihantar semula kepada WA.
“Pembetulan sedang dilakukan dan KOM sedang mengumpul bacaan angin hari ini untuk dihantar kepada WA. Ini akan memenuhi kriteria WA bagi bacaan angin untuk mengesahkan rekod tersebut. Perlu diingatkan, WA akan kembali bekerja minggu depan.
“Apa pun, KOM telah mengiktiraf catatan 11.49s dilakukan Zaidatul sebagai rekod kebangsaan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE