KOTA KINABALU – Seorang lelaki maut ketika menangkap ketam dipercayai terkena renjatan elektrik daripada penyambungan haram dalam kejadian di Lorong Kuala Neutron, Kampung Likas malam tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Agustavia Joe Guasi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.45 malam sebelum 10 anggota dan sebuah jentera digerakkan ke lokasi kejadian.
“Pasukan bomba terpaksa menunggu kakitangan Sabah Electricity membuat pemotongan bekalan elektrik sebelum berjaya mengalihkan mangsa yang berusia 43 tahun ke tempat yang selamat,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kemudia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE