SHAH ALAM – Siasatan lanjut dijalankan berhubung penjualan pil ekstasi termasuk dalam kawasan penganjuran konsert ‘Pinkfish’ di Bandar Sunway dekat sini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, ini susulan siasatan mendapati kesemua mangsa ada membeli dan menggunakan dadah berkenaan dalam konsert tersebut.
Katanya, selain itu turut mendapati ada antara mereka yang meminum alkohol.
“Bekalan (dadah) diperolehi ada antara dapat dari luar dan beli dalam premis tersebut. Jadi, kita tidak nafikan ada individu berlegar di situ untuk menjual ekstasi. Maklumat yang kita ada ini satu pil dijual RM50.
“Dia (pengedar) selalu jual pakej iaitu tiga pil berharga RM100. Justeru, pihak polis sedang kenal pasti mereka-mereka yang terlibat dalam penjualan pil ekstasi dalam konsert tersebut,” katanya pada sidang akhbar di Mes Pegawai Kanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, hari ini.
Kosmo! semalam melaporkan dua lelaki dan dua wanita tempatan berusia 20 hingga 40 tahun yang maut selepas menghadiri konsert malam ambang tahun baharu tersebut disyaki positif dadah jenis ekstasi.
Dalam kejadian sama, dua mangsa lain masih dirawat di unit rawatan rapi (ICU), manakala seorang lagi sudah dibenarkan keluar hospital.
Justeru, polis telah membuka empat kertas siasatan bagi mengenal pasti sekiranya wujud unsur jenayah atau keracunan.
Hussein menjelaskan, kesemua mereka termasuk yang maut tidak mempunyai sebarang kaitan antara satu sama lain selain datang berasingan dengan dengan kawan-kawan dan ahli keluarga masing-masing.
Tambah beliau, siasatan turut mendapati simptom awal terhadap kesemua mangsa adalah tidak sedarkan diri dan sesak nafas.
“Pihak penganjur ada sediakan pasukan bantuan dan mangsa dirawat di situ dengan pasukan itu juga mengaturkan ambulans untuk dihantar ke hospital bagi rawatan lanjut,” katanya.
Mengulas lanjut, Hussein berkata, lebih 14,000 pengunjung menghadiri konsert tersebut berdasarkan tiket yang telah dijual pada penganjurannya.
“Dalam penganjuran tersebut, pihak penganjur menggunakan polis bantuan dan pengawal mereka sendiri. Pihak polis hadir namun lebih kepada pemantauan dan jaga keamanan di luar premis (yang menganjurkan konsert itu).
“Di dalam premis adalah tanggungjawab penganjur untuk menentukan keselamatan pengunjung dan lain-lain perkara selain mematuhi syarat-syarat ditetapkan kelulusan permit penganjuran itu termasuk mengambil langkah mengelakkan sebarang penggunaan dadah,” katanya. – KOSMO! ONLINE