SEBERANG PERAI – Lima sekawan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Jawi, di sini hari ini atas pertuduhan pecah rumah pada Disember tahun lalu.
Tertuduh, M. Premanantha,25, Mohammad Ghani Shak Ali,26, M. Moganrajah,29, M. Kogilan,30, dan G. Sandresan,30, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Ainna Ahmad.
Berdasarkan pertuduhan, kelima-lima mereka didakwa telah melakukan pecah rumah ke atas sebuah kediaman dan mencuri dua buah komputer riba serta sebuah tablet milik seorang lelaki berusia 31 tahun di Taman Panchor Indah, Nibong Tebal kira-kira pukul 9.27 malam, 21 Disember 2024.
Kelima-lima tertuduh didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan boleh didenda.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norafifah Mohd Shokri yang kemudiannya menawarkan jaminan RM9,000 bagi setiap tertuduh.
Bagaimanapun, kelima-lima tertuduh merayu supaya mahkamah menetapkan jumlah jaminan paling minimum berdasarkan kekangan kewangan selain perlu menyara ahli keluarga masing-masing.
Nurul Ainna membenarkan kelima-lima tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan 24 Januari ini untuk sebutan kes.
Sementara itu, di mahkamah sama, Sandresan dan Premanantha masing-masing turut didakwa atas pertuduhan menyimpan harta curi dan mencuri.
Sandresan mengaku tidak bersalah manakala Premanantha dijatuhkan hukuman penjara lima bulan selepas mengaku bersalah mencuri sebatang tiang lampu tembaga bernilai RM2,500 milik kuil Persatuan Penganut Dewi Arulmigu Annai Maha Mariamman kira-kira pukul 1.39 petang pada 28 November 2024.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 24 Januari depan untuk sebutan kes. – KOSMO! ONLINE