PETALING JAYA – Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) telah mencatat satu lagi pencapaian cemerlang apabila menjadi terminal kontena pertama di Malaysia yang berjaya melangkaui kendalian 12,253,309 juta unit bersamaan 20 kaki (TEU) dalam tempoh satu tahun bagi tahun 2024.
Pencapaian luar biasa ini mengatasi rekod terdahulu PTP yang mencatatkan kendalian 11.2 juta TEU pada 2021, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan PTP sebagai hab pemindahan kontena yang terkemuka dan terbesar di Malaysia.
Pengerusinya, Tan Sri Che Khalib Mohamad Noh berkata, 2024 merupakan tahun yang luar biasa bagi PTP terutamanya dalam menyaksikan bagaimana PTP terus bangkit dalam mendepani pelbagai cabaran dan menjadikannya sebagai peluang dalam mengorak pertumbuhan dan memacu inovasi.
“Prestasi yang membawa kepada kejayaan kami dalam mencatatkan rekod terbaharu ini merupakan refleksi terhadap peranan penting PTP dalam rantaian bekalan global.
Pencapaian ini turut menjadi bukti dedikasi, komitmen dan kerja keras seluruh warga kerja PTP.
“Dengan mengendalikan jumlah kontena yang begitu besar dengan lancar, kami menyampaikan perkhidmatan secara konsisten kepada pelanggan dan rakan perniagaan, menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara dan mengukuhkan kedudukan syarikat sebagai salah satu terminal kontena paling cekap dan sibuk di dunia,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam.
Selain itu, Ketua Pegawai Eksekutif PTP, Mark Hardiman menjelaskan, pihaknya berbangga di atas keupayaan syarikat dalam mengekalkan kestabilan tahap produktiviti terminal, walaupun mengalami permintaan kendalian yang tinggi.
“Kestabilan ini adalah penting sebagai tambah nilai perkhidmatan PTP kepada pelanggannya.
“Adalah menjadi keutamaan bagi kami untuk terus membantu pelanggan dalam mencapai reliabiliti jadual, terutamanya dalam persekitaran gangguan rantaian global masa kini dan kami begitu berbangga kerana berjaya mengharungi cabaran ini tanpa sebarang kesesakan terminal,” terangnya.
Tambah beliau, matlamat PTP adalah untuk mengekalkan momentum ini dan mencapai pencapaian yang lebih besar pada 2025 dan seterusnya.
“Kami telah membuat persediaan yang komprehensif bagi mendepani masa hadapan dengan memfokuskan bukan sahaja terhadap peningkatan aset pelabuhan dan peningkatan infrastruktur, tetapi juga fokus terhadap pemacuan agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus.
“Selain itu, kami juga mahu mengukuhkan dasar keselamatan dan pemerkasaan strategi pendigitalan kami.
“Usaha ini memastikan penambahbaikan dan pengembangan berterusan kerana kami menjangkakan peningkatan ketara dalam jumlah kendalian pada tahun akan datang,” tambahnya.
Mark Hardiman merakamkan rasa terima kasihnya, dengan menyatakan; “Semua kejayaan PTP pada hari ini tidak mungkin berlaku tanpa sokongan pelanggan, rakan niaga, pemegang saham, dan yang paling penting, warga kerja PTP yang harus berbangga dengan apa yang telah mereka capai.”
“Kendalian kontena ke-12 juta PTP telah direkodkan pada pukul 7 malam pada 23 Disember 2024, sekali gus meletakkan tanda aras baharu kepada kecemerlangan operasi,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE