GEORGE TOWN – Polis berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dan pemprosesan dadah jenis heroin di negeri ini selepas menahan seorang lelaki tempatan di sebuah tandas lama dalam kawasan semak di Cangkat Bukit Gambir, Gelugor, di sini semalam.
Penahanan suspek berusia 47 tahun itu dilakukan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPD TL), kira-kira pukul 5 petang.
Difahamkan, tandas berkenaan hanya dijadikan sebagai stor simpanan dadah oleh sindiket terbabit.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, hasil pemeriksaan lanjut pihaknya menemui dadah jenis heroin seberat 5.35 kilogram yang dianggarkan bernilai RM51,370 bersama pelbagai peralatan dipercayai digunakan untuk memproses dadah.
Menurutnya, siasatan juga mendapati suspek terbabit dipercayai terlibat dalam aktiviti pemprosesan dan pengedaran dadah sejak awal Disember 2024.
“Dalam serbuan itu, polis menemui sebuah kotak kertas berisi heroin dengan anggaran berat 5.35 kilogram bernilai RM51,370.
“Dadah tersebut mampu digunakan oleh 26,755 orang atau untuk 26,755 kali penggunaan,” katanya di sini hari ini.
Katanya lagi, hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
“Suspek memiliki 10 rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah dan kini ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 8 Januari depan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya.
Beliau berkata, dalam operasi sama, sebuah motosikal Honda Wave bernilai RM3,500 turut disita di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dan jumlah keseluruhan nilai rampasan dadah dan harta sitaan adalah RM54,870. -KOSMO! ONLINE.