fbpx

SPM di Kelantan lancar, 2 sekolah masih digenangi banjir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Zamri (kanan) meninjau keadaan air limpahan Sungai Golok yang memasuki kawasan SMK Rantau Panjang hari ini. FOTO ROHANA ISMAIL/ KOSMO!

RANTAU PANJANG – Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang melibatkan seramai 27,017 calon di Kelantan berjalan dengan lancar meskipun dua buah sekolah di sini masih digenangi banjir.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan, Datuk Mohd. Zamri Abdul Aziz berkata, dua sekolah yang terjejas banjir sedalam 0.3 meter melibatkan Sekolah Menengah Ugama (SMU) Arab (A) Al-Falah dan SMU (A) Diniah.

“Seramai 35 calon SPM mengambil peperiksaan di SMU (A) Diniah manakala 48 lagi calon di SMU (A) Al-Falah,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Ramah Mesra Bersama Calon SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rantau Panjang di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Zamri memberitahu, seramai 27,017 calon menduduki SPM di Kelantan dengan 284 pusat peperiksaan termasuk di 261 buah sekolah, 12 pusat di hospital dan dua pusat tahanan.

Menurutnya, bagaimanapun, tiada calon ditempatkan pusat peperiksaan di hospital dan tahanan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI