fbpx

Sindiket palsu dokumen didalangi warga Pakistan tumpas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wan Mohammed Saupee (tengah) ketika sidang akhbar Ops Serkap di Kompleks Kementerian Dalam Negeri, hari ini. Foto oleh M.FIRDAUS M.JOHARI/ KOSMO!

KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen (JIM) Kuala Lumpur berjaya menumpaskan sindiket pemalsuan dokumen dan cap keselamatan didalangi warga Pakistan yang bergiat aktif di sekitar ibu negara pada 30 Disember lalu.

Pengarahnya, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, pihaknya menahan tiga warga Pakistan termasuk seorang lelaki disyaki dalang utama sindiket itu menerusi Ops Serkap.

Siasatan mendapati sindiket yang beroperasi sejak setahun lalu menawarkan kemudahan penyediaan dokumen dan cap palsu kepada warga asing yang mahu masuk dan tinggal di Malaysia dengan caj RM350.

“Suspek lelaki dan wanita yang ditahan berusia 36 dan 27 tahun serta remaja perempuan berusia 16 tahun. Sindiket ini menyediakan kemudahan permohonan visa masuk ke Malaysia selain pas khas dan lanjutan pas lawatan kerja sementara (PLKS).

“Mereka ditahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966.

“Kita merampas enam cap keselamatan pelbagai negara seperti Pakistan, Filipina, Bangladesh dan India, cap palsu JIM bagi tujuan keluar masuk pintu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), telefon bimbit, pasport dan tiket penerbangan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Ops Serkap di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN), di sini hari ini.

Menurut beliau, modus operandi sindiket adalah dengan menunjukkan berlakunya pergerakan warga asing terlibat ke luar negara dan masuk ke Malaysia seolah-olah kegiatan mereka mematuhi peraturan bagi kelulusan visa.

“Kami turut dapati ada pemalsuan dokumen seperti tiket kapal terbang melibatkan beberapa penerbangan yang disunting dengan mengubah butiran tertentu.

“Mereka menggunakan dokumen itu dengan muat naik dalam sistem permohonan visa dalam talian, memasukkan maklumat pasport, penerbangan dan tempahan hotel bagi menunjukkan seolah-olah mereka layak dapat kelulusan visa,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI