KUALA LUMPUR – Seramai 20,676 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menduduki peperiksaan bertulis di 160 buah pusat peperiksaan di ibu negara pagi ini.
Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Megat Affandi Datuk Wira Ismail berkata, mereka terdiri daripada 15,846 calon sekolah kerajaan, 238 (sekolah agensi kerajaan), 2, 626 (swasta) dan 1, 966 (persendirian).
“Seramai 110 Calon Berkeperluan Pendidikan Khas (CBPK) pelbagai kategori manakala sembilan calon lagi mengambil peperiksaan di hospital sekitar Kuala Lumpur.
“Seramai 1,758 petugas peperiksaan termasuk 175 Sukarelawan Pengawas Peperiksaan bertugas bagi memastikan kelancaran peperiksaan,” katanya selepas melakukan tinjauan peperiksaan bertulis SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sentul Utama di sini, hari ini.
Menurut Megat, masalah kesesakan lalu lintas menjadi cabaran utama bagi calon di Kuala Lumpur untuk tiba di dewan peperiksaan tepat pada masa yang ditetapkan.
“Sekiranya calon lambat, mereka boleh merujuk pusat peperiksaan terdekat untuk mengambil peperiksaan dan dikira sebagai calon tumpang,” katanya.
Beliau turut mengingatkan calon SPM 2024 agar sentiasa peka dengan prosedur operasi standard dan mematuhi semua peraturan yang ditetapkan sepanjang peperiksaan berlangsung. – KOSMO! ONLINE