KOTA KINABALU – Seorang remaja lelaki warga asing ditemui lemas ketika mandi di pantai Karambunai, Jalan Sepanggar di sini semalam.
Mangsa dikenali sebagai Mazlan Abdullah, 18, ditemui oleh ahli keluarganya lalu dibawa ke Hospital Likas untuk rawatan sebelum disahkan meninggal dunia.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Ordine Gilu berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 12.22 tengah hari.
“Sepasukan pegawai dan anggota bomba bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bergegas ke lokasi kejadian.
“Menurut pemanggil, terdapat seorang remaja lelaki dikhuatiri lemas ketika melakukan aktiviti mandi-manda di pantai berkenaan,” katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, pasukan bomba hanya mengambil maklumat di lokasi kejadian dan tiada operasi dilakukan.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 1.37 tengah hari,” katanya. – KOSMO! ONLINE