PETALING JAYA – Pasukan Vietnam mempamerkan aksi dalam kelas tersendiri untuk meraih kemenangan 2-1 ke atas Thailand dalam aksi final pertama Piala Asean 2024 sebentar tadi.
Pada aksi di Stadium Viet Tri, Hanoi itu, skuad Golden Warriors membariskan kesebelasan terbaik dengan Chau Ngoc Quang, Nguyen Van Vi Nguyen dan Nguyen Xuan Son mengetuai jentera serangan.
Sementara itu, pasukan Gajah Perang yang dikendalikan oleh Masatada Ishii turut meletakan pemain utama seperti Ekanit Panya, Seksan Ratree dan Patrik Gustavsson.
Kedua-dua pasukan dilihat agak bergelut untuk mencari gol pada babak pertama dengan corak permainan yang dipamerkan agak seimbang.
Namun, bersambung pada separuh masa kedua, pasukan tuan rumah mula menunjukkan belang apabia Xuan Son bijak meledak gol pertama menerusi serangan balas pantas pada minit ke-59.
Xuan Son yang juga pemain naturalisasi pertama Vietnam dari Brazil menggandakan kelebihan dengan menjadikan 2-0 selepas menanduk gol kedua peribadi pada minit ke-73.
Tersentak dengan gol itu, Thailand memperkemaskan jentera serangan dan berjaya merapatkan jurang hasil tandukan pemain pertahanan, Chalermsak Aukkee pada penghujung saingan.
Jaringan tersebut menaikkan semanat pasukan pelawat tetapi keputusan 2-1 kekal sehingga wisel penamat.
Thailand selaku juara bertahan bakal melayan kunjungan Vietnam pada aksi final kedua di Stadium Rajamangala, Bangkok pada Ahad ini.