BANGKOK – Thailand bersedia mengukuhkan status mereka sebagai raja Asia Tenggara dengan mempertahankan Piala Asean buat kali ketiga berturut-turut pada edisi kali ini sekali gus mengumpul koleksi ketujuh kejuaraan tersebut.
Untuk itu, skuad Gajah Perang sedia memberikan persembahan terbaik untuk mencari bekalan selesa dalam final pertama bertemu Vietnam di Stadium Viet Tri malam ini sebelum aksi timbal balik di Stadium Rajamangala, Bangkok pada Ahad ini.
Berdasarkan rekod pertemuan antara kedua-dua pasukan, kelebihan lebih memihak kepada skuad bimbingan Masatada Ishii itu yang tidak pernah tewas kepada Vietnam dalam tujuh aksi terakhir.
Bek tengah Thailand, Chalermsak Aukkee sedia memikul tanggungjawab dengan merantai bintang naturalisasi Vietnam kelahiran Brazil, Nguyen Xuan Son yang ketika ini menerajui carta penjaring terbanyak menerusi lima gol.
“Sejujurnya saya tidak kenal siapa dia (Xuan Son). Fokus kami hanyalah perlawanan sendiri dan kami langsung tidak gentar untuk bertemu mereka sama ada di sana (Viet Tri) atau Bangkok.
“Adakah dia (Xuan Son) benar-benar kuat? Kita lihat nanti sama ada dia boleh menyaingi (Jonathan) Khemdee (pertahanan tengah Thailand) dalam perlawanan itu nanti,” kata Aukkee.
Khemdee berketinggian 1.90 meter dan merupakan salah seorang pemain menyinar dalam kejohanan kali ini selain Xuan Son yang meledak dua gol ketika menewaskan Singapura 3-1 dalam aksi separuh akhir kedua baru-baru ini.
Sebagai rekod, Thailand mara ke final menerusi kemenangan agregat 4-3 ke atas Filipina, manakala Vietnam membenam Singapura 5-1 secara agregat. – AGENSI