SEBERANG PERAI – Seorang penternak lembu dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengangkut dua pendatang migran warga Myanmar yang diseludup masuk ke negara ini bulan lalu.
Tertuduh, Jailanie Jusoh @ Yusop,39, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Zulaikha Nordin @ Ghani.
Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai pemandu kereta jenis Proton Persona telah terlibat mengangkut dua lelaki migran warga Myanmar yang tidak memiliki dokumen perjalanan sah.
Perbuatan itu didakwa dilakukannya di hadapan sebuah rumah di tepi jalan Kampung Teluk, Sungai Dua kira-kira pukul 3.30 pagi pada 20 Disember lalu.
Pertuduhan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih (5) tahun dan juga boleh dikenakan denda tidak melebihi RM250,000 atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurameera Shahrul Azrin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah tidak membenarkan jaminan diberikan kepada tertuduh dan menetapkan 3 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes. -KOSMO! ONLINE