KLUANG – Penganggur yang dituduh mencabul wanita dalam tandas awam di Laman Kreatif Kampung Melayu di sini pada pertengahan bulan lalu diarah menjalani pemeriksaan psikiatri selama sebulan.
Majistret Mustakim Sukarno mengeluarkan arahan itu ke atas tertuduh, Mohamad Sopor Nasir, 34, ketika pertuduhan dibacakan semula terhadapnya hari ini.
Mengikut pertuduhan, Mohamad Sopor didakwa mencabul mangsa dalam Tandas Awam Wanita di Laman Kreatif Kampung Melayu pada pukul 5.20 petang, 17 Disember lalu.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nurfara Fazilun Izylin Ahmad namun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.
Mahkamah menetapkan 4 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes selepas menerima laporan pemeriksaan psikiatri untuk menetapkan hukuman.
Pada 19 Disember lalu, Mohamad Sopor mengaku salah ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kluang di hadapan Hakim Mujib Saroji.
Pada 17 Disember lalu, Kosmo! melaporkan seorang lelaki ditahan sebelum diserahkan kepada polis selepas dipercayai mencabul wanita dalam Tandas Awam Wanita di Laman Kreatif Kampung Melayu.-KOSMO! ONLINE