PUTRAJAYA – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meminta Pelan Tindakan Dasar Pembangunan Luar Bandar 2030 (DPLB 2030) dan Pelan Strategik Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) 2025 disemak semula agar selari dengan fokus Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13).
Ahmad Zahid berkata, ketika ini negara di fasa terakhir RMK12 dengan segala dilaksanakan perlu diukur untuk menilai pencapaian, mengenal pasti jurang, dan memperbaiki kelemahan dalam perkhidmatan kepada masyarakat desa.
Katanya, perkara ini memerlukan perancangan yang lebih berani dan radikal.
“‘Honesty is the best policy.’ Kita mesti berani menerima hakikat, mengakui kelemahan, dan memperbaiki apa jua kesilapan.
“Index prestasi utama (KPI) yang kita tetapkan saban tahun mestilah berpandukan kepada kepuasan rakyat kerana kita semua berkhidmat untuk mereka, untuk masa hadapan mereka,” katanya berucap pada Majlis Amanat Tahun Baharu KKDW di sini, hari ini.
Beliau turut mengarah, Universiti Kuala Lumpur (UniKL) untuk menjalankan kajian menyeluruh mengenai tahap kepuasan rakyat terhadap penyediaan keperluan asas, kemudahan asas dan usaha memangkin sosioekonomi kawasan pedesaan.
“Dapatan ini sangat penting untuk memastikan perancangan kita kekal relevan dan lebih berimpak,” ujarnya.
Ahmad Zahid turut berkata warga KKDW dan agensi dibawahnya untuk mengadaptasi pemikiran strategik melalui pendekatan ‘cross-functional’ bagi mengelakkan pertindihan peranan dan meningkatkan kecekapan serta mengoptimumkan penggunaan sumber dengan lebih efektif.
Beliau berkata, pendekatan tersebut akan dilaksanakan melalui tiga kluster iaitu modal insan, ekonomi dan usahawan.
“Kita perlu mengumpulkan seluruh kekuatan setiap organisasi yang mempunyai pelbagai kemahiran dan pengalaman untuk mencapai satu matlamat,” katanya. – KOSMO! ONLINE