TANGKAK – Tindakan seorang wanita warga emas mengayuh basikal secara melawan arus mengundang tragedi apabila maut selepas bergesel dengan sebuah kereta Kia Optima dalam kejadian di Kilometer 9.3 Lebuhraya Alor Gajah–Melaka Tengah–Jasin (AMJ) di sini semalam.
Menurut Ketua Polis Daerah Tangkak, Superitendan Roslan Mohd Talib, dalam kejadian pada pukul 9.30 pagi itu melibatkan mangsa yang berusia 71 tahun.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu kereta tersebut dari arah Tanjung Gading menghala ke Melaka telah bergesel dengan penunggang basikal terbabit yang ditunggang secara melawan arus di bahagian tepi jalan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambah Roslan, akibat kemalangan tersebut, penunggang basikal yang merupakan wanita berusia 71 tahun cedera dan dikejarkan ke Hospital Tangkak untuk mendapatkan rawatan sebelum disahkan meninggalkan meninggal dunia.
Kes disiasat Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian kerana memandu secara melulu dan berbahaya. – KOSMO! ONLINE