KATHMANDU – Seorang warga emas berusia 70 tahun cedera selepas diserang seekor badak sumbu liar ketika mengutip rumput dan najis dalam kawasan hutan di daerah Makwanpur, Nepal, lapor portal berita Rising Nepal Daily.
Kejadian berlaku sekitar pukul 8.30 pagi (waktu tempatan) di Hutan Komuniti Lamedamar Madhyabarti, bandar Manahari kelmarin.
Timbalan Polis Makawanpur, Shyamu Aryal berkata, mangsa diserang ketika mengambil rumput dan najis untuk dijadikan makanan ternakannya.
“Penduduk tempatan membuat kecoh dan bising, menyebabkan badak sumbu itu melarikan diri ke kawasan hutan itu lalu menyerang wanita tersebut.
“Mangsa mengalami kecederaan di bahagian tangan, badan dan dahi.
“Dia dibawa ke hospital berdekatan untuk rawatan lanjut,” tambahnya. – AGENSI