SHAH ALAM – Masalah gandar dan sistem brek kanan depan lori dipercayai antara punca nahas ngeri mengorbankan tujuh nyawa termasuk lima sekeluarga di Kilometer 204, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara, Melaka bulan lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom), Mahmood Razak Bahman berkata, faktor itu diperoleh menerusi hasil pemeriksaan lanjut dijalankan pihaknya dengan laporan berkaitannya telah diserahkan kepada Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tindakan lanjut.
“Pemeriksaan mendapati gandar dan sistem brek kanan depan lori itu bermasalah dipercayai terbakar atau terlalu panas.
“Setakat ini, Puspakom belum menerima tayar lori yang tercabut itu untuk diperiksa namun kita telah serah laporan kepada pihak terlibat,” katanya pada sidang akhbar di Puspakom Shah Alam di sini, petang ini.
Kosmo! sebelum ini melaporkan nahas itu berpunca daripada tayar lori tercabut yang berada di lorong tengah laluan berkenaan.
Kemalangan pukul 8.45 malam itu melibatkan lima buah kenderaan termasuk bas persiaran yang membawa 27 penumpang, kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima, lori, treler dan Perodua Bezza.
Lima mangsa yang meninggal dunia di tempat kejadian itu merupakan penumpang MPV selain seorang pemandu bas dan penumpangnya.
Mengulas lanjut, kata Mahmood, lori yang diperbuat pada 2023 itu menjalani pemeriksaan awalan Puspakom pada 28 Mac tahun lalu.
“Justeru, kita musykil bagaimanana lori baharu seumpamanya mengalami masalah sedemikian.
Kita telah selesai memeriksa dan menyerahkan kepada MIROS untuk mengenal pasti punca sebenar,” ujarnya.
Tambah beliau, kira-kira lapan peratus kenderaan berat didapati gagal dalam pemeriksaan Puspakom setiap tahun.
“Secara puratanya, ia meliputi 220,000 daripada 2.8 juta kenderaan dan brek, tayar serta sistem kenderaan itu antara masalah utama yang dikesan.
“Bagi keadaan tayar, ia tidak semestinya tayar celup kerana mungkin mempunyai masalah lain selepas digunakan berkali-kali,” katanya. – KOSMO! ONLINE