fbpx

Mukhriz dapat tangguh sementara bayar cukai tambahan RM5 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mukhriz.

KUALA LUMPUR – Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir dibenar oleh Mahkamah Tinggi di sini bagi memulakan semakan kehakiman untuk membatalkan tindakan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengeluarkan Notis Taksiran Tambahan kepadanya lebih RM5 juta.

Pada masa sama, Hakim Datuk Amarjeet Singh turut membenarkan permohonan Mukhriz selaku pemohon untuk menggantung sementara pembayaran RM5 juta itu sementara menunggu pendengaran penangguhan pada 16 April ini.

Notis- notis taksiran tambahan itu ialah Notis Taksiran Tambahan Tahun Taksiran 2017 bernilai RM2,558,875.90, Notis Taksiran Tambahan Tahun Taksiran 2018 bernilai RM2,445,004.91 dan Notis Taksiran Tambahan Tahun Taksiran 2019 berjumlah RM16,826.37 yang kesemua berjumlah RM5,020,707.18.

Semasa prosiding hari ini, peguam Nizamuddin Abdul Hamid, mewakili Mukhriz manakala Peguam Kanan Persekutuan Wan Shahida Wan Omar, yang bertindak bagi pihak responden.

Mukhriz, 61, selaku pemohon memfailkan semakan kehakiman itu menerusi Tetuan Zharif Nizamuddin di sini pada 20 Disember lalu di Mahkamah Tinggi di sini dengan menamakan Ketua Pegawai Eksekutif atau Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri, Menteri Kewangan Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Malaysia masing-masing sebagai responden pertama hingga ketiga.

Berdasarkan permohonan, Mukhriz memohon supaya satu Perintah Certiorari untuk membatalkan keputusan responden pertama untuk mengeluarkan Notis Taksiran Tambahan 2017, 2018 dan 2019 dengan alasan ultra vires, menyalahi undang-undang, melanggar keadilan semula jadi dan tidak munasabah.

Selain itu pemohon juga, memohon suatu deklarasi bahawa responden kedua telah menggunakan kuasa secara salah dengan sehingga menyebabkan responden mengeluarkan Notis Taksiran Tambahan bagi tiga tahun tersebut dan mengakibatkan responden pertama mengeluarkan Sijil Di Bawah Subseksyen 104(1) Akta Cukai Pendapatan 1967.

“Responden pertama telah dengan salah dan melulu, mengambil kira pelupusan saham pemohon di OPCOM Holdings Berhad
penerimaan dividen daripada M Ocean sebagai perbelanjaan yang boleh dicukai, sedangkan pelupusan saham pemohon di OPCOM dan penerimaan dividen daripada M Ocean merupakan pendapatan yang tidak boleh dicukai,” kata Mukhriz.

Sementara itu, berhubung isu had masa pemohon yang juga bekas Menteri Besar Kedah itu turut mempertikai mengapa notis taksiran tambahan itu dikeluarkan hanya selepas tempoh lima tahun.

“Merujuk kepada Isu Had Masa yang telah dikemukakan dalam Surat Peguamcara Pertama, ianya jelas dan nyata bahawa Notis Taksiran Tambahan 2017 dan Notis Taksiran Tambahan 2018 telah dikeluarkan pada 27 September 2024.

“Notis Taksiran Tambahan 2017 dan Notis Taksiran Tambahan 2018 telah dikeluarkan lebih daripada lima tahun daripada garis masa pemfailan borang-borang cukai pendapatan bagi tahun 2017 dan 2018,” katanya.

Permohonan lanjut turut menyatakan kenaikan yang sangat mendadak ini tidak pernah ditimbulkan oleh responden pertama sepanjang garis masa 2021 sehingga 2023 dan hanya dikeluarkan melalui Penemuan Semakan Kes Tahun Taksiran 2017 Hingga 2019 pada 13 September 2024. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI