fbpx

K2

Memburu tapah Sibu Sarawak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AKHIRNYA impian tercapai dengan naiknya ikan tapah ini. Adakalanya pemancing memburu tapah iaitu spesies ikan air tawar terbesar Malaysia ini dalam hujan lebat.

Misi memancing ikan tapah di Sibu, Sarawak ini merupakan satu pengalaman yang penuh dengan debaran, namun ia tetap menjadi satu memori yang paling manis apabila saya dapat menaikkan ikan idaman.

Sampai di Lapangan Terbang Sibu, kami disambut oleh tekong Alex dan Apek. Mereka berdualah yang menguruskan segala persiapan di sini. Perjalanan ke Kampung Pasai mengambil masa dua jam.

Pada hari pertama, kami tidak memancing, sebaliknya hanya meronda di sekitar kampung. Ini juga memberi peluang untuk kami mengenali adat dan budaya masyarakat di rumah panjang.

Selepas makan malam, kami me­­nyiapkan peralatan memancing. Pada masa yang sama, tekong menurunkan info dan tip cara memancing tapah di Sungai Pasai. Ini termasuk pemilihan peralatan meman­cing yang sesuai.

Mereka juga menekankan bahawa faktor air sangat penting dalam misi pemburuan tapah.

Tip tekong
Menurut pengalaman tekong, kebanyakan tapah gergasi yang berjaya dinaikkan, biasanya dipancing ketika hujan renyai berpanjangan sepanjang hari. Tekong Alex pernah menaikkan tapah seberat 40 kilogram (kg), manakala

Tekong Apek pernah merasa bertarung dengan seekor tapah yang tidak diketahui saiznya selama satu jam sebelum snap swivel terkangkang menahan asakan padu tanpa henti.

Ikan tapah di sini yang pernah ditangkap dan direkodkan beratnya lebih 100 kg.

Tekong turut memberitahu bahawa setiap saiz tapah memberikan perlawanan yang berbeza. Contohnya, tapah saiz 1 hingga 5 kg kebiasaannya akan menuju ke tepi tebing, manakala saiz 5 hingga 15 kg akan menekan ke bawah bot. Sementara itu, tapah saiz lebih daripada 15 kg dan ke atas akan memecut ke tengah di bahagian sungai yang paling dalam.

Oleh itu, pemilihan peralatan meman­cing yang ampuh sangat penting untuk memastikan kejayaan mutlak. Tekong menyarankan peralatan berkekuatan PE3 dan ke atas. Saya sendiri menggunakan joran Rentaka Defy 6 PE2-5, kekili Daiwa Zillion TW HD yang telah dipertingkat kekuatan dragnya, tali utama 40 paun dan perambut 50 paun.

SUASANA nyaman
di rumah panjang.

Terbaik adalah menggunakan gewang dengan profil badan kurus memanjang se­perti Rapala TDD7 dan TDD9. Tekong turut menekankan bahawa warna gewang perlu terang menyerlah dan kontras dengan air gambut Sungai Pasai yang gelap kehitaman.

Gewang yang bergetar (vibrate) kuat lebih berpotensi untuk menarik perhatian tapah. Gewang ini kemudiannya dipadankan dengan mata tiga saiz 6 berkekuatan 5X yang masih dapat mengekalkan aksi renangannya yang asli.

Hari kejadian

Secara peribadi, saya berdoa agar esoknya hujan, kerana menurut pengalaman tekong, peluang untuk mendapat sambaran amat tinggi dalam situasi tersebut. Alhamdullillah, doa saya termakbul.

Hujan turun tanpa henti sejak dari pukul 3 pagi. Selepas selesai memuatkan peralatan memancing ke dalam dua bot, kami bergerak menuju ke lokasi pancingan yang telah dikenal pasti.

Sepanjang menelusuri sungai, mata disajikan dengan pemandangan hutan hijau tropika yang mendamaikan. Laluan sungai yang sempit sesekali membuatkan kami terasa seperti di hutan Amazon. Keadaan air pada waktu itu masih baik, hitam jernih walaupun hujan turun berterusan.

Setibanya di lokasi pertama, tekong menyarankan kami mula mengilat di kawasan yang berpotensi. Saya menggunakan kekili dengan nisbah kayuhan 7:1 dipadankan dengan gewang menyerupai TDD9, berwarna kuning terang dengan bahagian kepalanya berwarna merah.

Namun, selepas mencuba di beberapa kawasan, tiada sambaran diterima. Kami kemudian berpindah ke lokasi yang menjadi pilihan tekong iaitu kuala sungai yang menghubungkan sebatang sungai besar dengan dua anak sungai.

“Di situlah selalu tempat naik tapah,” ujar tekong Alex sambil bercerita tentang rekod tangkapannya di sungai kecil berhampiran. Mendengar itu, semangat kami semakin berkobar-kobar.

Kami cuba mengilat di kawasan simpang tiga, sementara bot kedua bergerak ke sungai kecil yang disebutkan tadi. Oleh kerana sungai tersebut sempit, hanya sebuah bot boleh memancing dalam satu-satu masa.

Antara laluan sungai yang sempit semasa menuju ke lokasi pancingan.

Setelah mereka masuk agak jauh, tibalah giliran kami mencuba lokasi itu pula. Sambil tekong menunda dengan gewang minnow, saya dan Fiq Epy bergi­lir-gilir mengilat ke kiri dan kanan tebing.

Tekong menasihati supaya fokuskan balingan ke kawasan ‘teluk’ iaitu tempat arus deras bertemu dengan arus perlahan. Tapah katanya, bukan seperti pemangsa lain yang gemar mengejar makanannya, ia lebih gemar menunggu mangsanya memasuki kawasan hendapannya, mungkin kerana sifat malasnya itu.

Tidak lama kemudian, gewang tekong disentap sesuatu. Kami menyangka seekor tapah, tetapi apabila ikan hampir ke bot, kelihatan kilauan putih, ia seekor belida seberat hampir 2 kg. Kami melepaskannya kembali.

Strike!
Hujan semakin lebat dan tanpa baju hujan, kami semakin basah kuyup. Selepas hampir 30 minit, saya cuba melempar gewang di satu teluk berarus perlahan. Ketika gewang dikarau, tiba-tiba ia dirembat dengan rakus sebanyak dua kali.

Saya yakin, “ini mesti tapah!” Ikan tersebut dengan pantas berenang ke bawah bot dan menekan kuat ke dasar, membuatkan saya terduduk menahan asakan.

Malangnya, ikan itu berjaya menyelinap ke tunggul-tunggul kayu di dasar sungai dan tersangkut.

Saya masih bertahan dan ikan tetap menekan masuk jauh ke dalam reba. Saya cuba pelbagai cara, termasuk menggunakan lure retriever, ikan masih gagal dikeluarkan.

Setelah hampir 15 minit, tekong menyarankan agar tali diputuskan sahaja kerana tidak mahu membuang masa. Dengan berat hati, saya terpaksa akur.

Namun, ketika bot bergerak ke hadapan untuk memudahkan tali diputuskan, se­suatu yang mengejutkan berlaku. Ikan tapah itu keluar dengan sendirinya.

Dalam keadaan yang sudah sangat lemah, ia tidak lagi melawan. Perlahan-lahan saya menarik ikan itu ke arah tangguk yang telah dihulurkan Epy.

“Alhamdullillah!” lafaz pertama yang keluar dari mulut saya. Lesen idaman akhirnya berjaya saya naikkan.

Tapah itu seberat 18 lb ditimbang menggunakan Boga Grip dengan panjang 103 sentimeter (sm), Selepas puas bergambar, kami lepaskan kembali ke habitat asalnya.

Tidak lama selepas itu, satu lagi sambaran berlaku. Kali ini, ikan tapah seberat 2 kg berjaya dinaikkan. Ikan kedua ini dibawa balik untuk dijadikan lauk.

Benar kata tekong, setiap saiz ikan tapah memberi tentangan yang berbeza. Semakin besar, semakin kuat asakannya.

Jam menunjukkan hampir 11 pagi. Hujan masih lebat dan air sungai mula berubah dari jernih kehitaman menjadi keruh kekuningan. Suhu air juga turun dan tiada lagi sambaran selepas itu. Tekong mencadangkan kami pulang

lebih awal kerana keadaan air seperti ini biasanya membuatkan ikan tapah kurang aktif.

Malam itu, kami disajikan dengan masakan tapah stim kicap. Benar bagai dikata, isi ikan ini sangat sedap. Patutlah harganya di pasaran sangat mahal!

Hari kedua dan terakhir

Di hari kedua, kami berharap keadaan air pulih, malangnya paras air masih tinggi dan keadaannya keruh. Kami usahakan juga mencuba di lokasi semalam, namun tiada sebarang sambaran diterima dan kami terpaksa pulang awal.

Hari ketiga pula, kami merancang untuk memancing separuh hari sahaja kerana penerbangan dijadualkan pada lewat petang itu. Pada awal pagi, keadaan air kelihatan sedikit baik. Ada beberapa kali ketukan pada gewang, namun tiada satu pun yang lekat.

Tidak lama kemudian, air keruh dari hulu sampai ke kawasan pancingan. Kami pulang awal bukan dengan kekalahan, tetapi dengan penuh semangat memburu raksasa tapah idaman di trip yang akan datang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI