KAJANG – Polis mengesahkan mayat reput remaja perempuan yang ditemui di Kampung Rancangan Tanah Baharu (RTB) Sungai Changgang, Banting, Sabtu lalu adalah Yap Xin Yuan, yang dilaporkan hilang sejak 19 Disember lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, ia hasil keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang diperoleh pihaknya hari ini.
“Keputusan DNA positif. Mayat akan dituntut petang ini di Hospital Banting,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Terdahulu, mayat reput dipercayai milik mangsa ditemui di Kampung Rancangan Tanah Baharu (RTB) Sungai Changgang, Banting.
Mayat tersebut dijumpai dalam keadaan reput dan tidak dapat dikenal pasti secara fizikal.
Susulan itu, polis telah menahan tiga suspek berusia 16, 20, dan 51 tahun, terdiri daripada teman lelaki mangsa dan dua ahli keluarga suspek.
Kesemua mereka direman sehingga 5 Januari bagi membantu siasatan.
Kes tersebut kini diklasifikasikan sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Media sebelum ini melaporkan kehilangan Yap Xin Yuan selepas dia tidak pulang ke rumah selepas menghadiri latihan tarian singa di Batu 11, Cheras, pada 19 Disember lalu.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, laporan kehilangan dibuat oleh keluarga mangsa pada pukul 2.15 pagi, sehari selepas kejadian. – KOSMO! ONLINE