ALOR SETAR – Kerajaan negeri bersetuju menyalurkan sumbangan RM500 kepada setiap ketua isi rumah (KIR), keluarga yang terlibat dengan banjir pada November lalu.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, sumbangan itu termasuk mereka yang tidak berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).
Katanya, sumbangan itu dijangka melibatkan implikasi kewangan bernilai RM3.5 juta di pihak kerajaan negeri.
“Ketika ini jumlah mangsa banjir itu masih di peringkat bancian namun pagi ini, saya nak maklumkan bahawa kerajaan negeri bersetuju menyumbangkan RM500 kepada ketua isi rumah terlibat banjir sama ada yang berpindah atau pun tidak.
“Kalau kita dapat angka penuh mereka yang terjejas pada minggu ini, minggu depan sumbangan tersebut sudah mula boleh dibayar,” katanya ketika berucap dalam Majlis Perhimpunan Penjawat Awam Negeri di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.
Sementara itu Muhammad Sanusi turut mengingatkan semua agensi berkaitan agar mengambil langkah bersiap sedia berikutan laporan dikeluarkan Institut Penyelidikan Air Kebangsaan (Nahrim) dan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), yang menjangkakan kemarau berpanjangan bermula tahun ini dan mungkin berlarutan hingga 2035. – KOSMO! ONLINE