SKUAD hoki dalam dewan lelaki negara bersedia mencipta sejarah apabila menyasarkan podium dalam penampilan sulung di Piala Dunia Hoki Dalam Dewan yang akan berlangsung di Porec, Croatia bermula 3 hingga 9 Februari ini.
Kapten pasukan, Muhammad Najmi Farizal Jazlan berkata, skuad negara tidak akan hadir sebagai pelengkap jadual, sebaliknya bertekad untuk memberikan cabaran sengit kepada gergasi dunia seperti Argentina dan Jerman yang belum pernah menentang Malaysia.
“Kami telah bersedia sepenuhnya. Latihan intensif bermula sejak Julai lalu dan kami yakin persiapan ini cukup untuk memberi saingan terbaik di Piala Dunia nanti,” kata Najmi.
Meskipun jadual bertembung dengan saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) 2025 berlangsung hujung minggu ini, namun Najmi berkata, mereka mampu mengimbangi komitmen antara latihan bersama skuad kebangsaan dan kelab masing-masing.
“Pagi kami berlatih bersama skuad negara, manakala sesi petang pula bersama pasukan MHL. Ia sedikit mencabar tetapi tidak menjejaskan fokus kami untuk kejohanan ini,” jelasnya.
Malaysia mencipta sejarah dengan kelayakan kali pertama ke Piala Dunia Hoki Dalam Dewan dan Najmi percaya ia adalah peluang keemasan untuk membuktikan kemampuan mereka di pentas antarabangsa.
“Ini kali pertama Malaysia ke Piala Dunia Hoki Dalam Dewan dan kami mahu menunjukkan bukan sekadar layak, tetapi mampu mencipta kejutan. Kami sasarkan berada di podium,” katanya.
Kapten berusia 29 tahun itu turut menjelaskan kelebihan skuad negara terletak pada strategi set play, pukulan sudut penalti (PC) dan fleksibiliti taktikal yang boleh mengejutkan gergasi sukan berkenaan.
Mengulas mengenai cabaran bakal dihadapi, Najmi berkata, setiap pasukan berpotensi menjadi ancaman, namun status underdog skuad negara memberi peluang untuk mengejutkan pasukan lawan.
“Semua pasukan akan beri saingan, tetapi kami datang sebagai underdog dengan kelebihan tersendiri. Lawan mungkin akan memandang rendah tetapi kami bersedia memanfaatkan peluang itu untuk mencipta sejarah,” katanya.