KULIM – Seorang lelaki maut selepas lori dipandunya terbabit nahas dengan sebuah lori lain di Jalan Titi Karangan-Baling, Kulim, hari ini.
Dalam kejadian pukul 10.30 pagi, mangsa, Mohd. Rosidan Omar, 38, yang berasal dari Berapit, Bukit Mertajam, Pulau Pinang, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Zulkifli Azizan berkata, seorang lagi pemandu lori berusia 41 tahun mengalami kecederaan pada badan serta tangan kanan dan telah dihantar ke wad kecemasan Hospital Kulim untuk rawatan lanjut.
Katanya, hasil siasatan awal mendapati, kedua-dua mangsa menaiki lori jenis Hino dan bertembung dari arah bertentangan. Mangsa yang berusia 38 tahun memandu lori dari arah Desa Aman menghala ke arah Kulim sementara mangsa yang cedera dari arah Desa Aman menghala ke Kulim.
“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila tayar depan sebelah kanan lori mangsa pecah lalu hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan sebelum melanggar sebuah lori lain,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Katanya, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kulim dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – KOSMO! ONLINE