SEREMBAN – Seorang kontraktor ladang didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas enam pertuduhan menipu pelaburan tidak wujud dan menyalahgunakan harta milik seorang lelaki dengan nilai keseluruhan RM116,000 pada awal tahun lalu.
Tertuduh, Syed Zulkhairi Zainuddin, 44, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Syed Farid Syed Ali.
Mengikut tiga pertuduhan, Syed Zulkhairi telah didapati menipu seorang lelaki berusia 46 tahun dengan memperdayakannya supaya melabur dalam satu pelaburan tidak wujud dan telah dengan curangnya mendorong mangsa menyerahkan wang sebanyak RM40,000 ke dalam akaun bank atas nama dua individu.
Bagi tiga lagi pertuduhan, tertuduh didakwa telah menyalahgunakan suatu harta milik mangsa sama dengan nilai keseluruhan berjumlah RM76,000 yang dimasukkan ke dalam akaun bank atas nama dua individu untuk kegunaan sendiri.
Semua kesalahan itu dilakukan antara 26 hingga 31 Januari 2024 di Taman Pulai Impian, Sikamat di sini.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM18,000 bagi kesemua enam pertuduhan dan kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 4 Februari depan. – KOSMO! ONLINE