PETALING JAYA – Kerajaan komitmen untuk terus bekerja keras sepanjang tahun ini demi memastikan kesejahteraan dan keselesaan rakyat diutamakan.
Perkara berkenaan dimaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam hantaran di Facebook hari ini.
“Insya-Allah, Kerajaan Madani akan terus bekerja keras pada tahun ini demi menjamin keselesaan dan kesejahteraan buat semua,” katanya.
Terdahulu, Anwar berkongsi hantaran Setiausaha Politiknya, Datuk Ahmad Farhan Fauzi berhubung kejayaan projek baik pulih dan naik taraf Balai Polis Beserah, Kuantan, Pahang.
Dalam hantaran Ahmad Farhan itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan projek berkenaan.
“Alhamdulillah, selepas kunjungan saya ke Balai Polis Beserah, Kuantan pada bulan Jun 2024 dan beberapa siri perbincangan telah diadakan, kerja baik pulih dan penaiktarafan Balai Polis Beserah akhirnya dimulakan pada bulan Oktober 2024.
“Dengan sokongan penuh daripada Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim), projek ini berjaya disiapkan dalam tempoh hanya dua bulan, seperti yang dijadualkan,” katanya dalam hantaran itu.
Jelas Ahmad Farhan, projek itu bukan sahaja bertujuan untuk memperbaharui kemudahan di balai polis, tetapi juga memberi tumpuan bagi meningkatkan keselesaan dan kualiti perkhidmatan anggota polis.
“Ini adalah usaha yang amat penting untuk memastikan para anggota polis dapat menjalankan tugas dengan lebih efisien, penuh dedikasi, dan dalam persekitaran yang lebih kondusif,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE