PARIT BUNTAR – Jenazah Nur Aqifah Humaira Abdullah, 6, yang maut setelah tersepit besi meja lipat di kediamannya di Nibong Tebal, Pulau Pinang semalam selesai dimandikan dan dikafankan di Unit Forensik Hospital Parit Buntar tengah hari tadi.
Nur Aqifah Humaira ditemui maut selepas dipercayai tersepit besi sebuah meja lipat ketika sedang bermain sendirian di belakang rumah sewa keluarganya di Taman Seri Putera, Nibong Tebal kira-kira pukul 4.15 petang semalam.
Mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Parit Buntar bagi bedah siasat yang mana ia selesai dilaksanakan pagi tadi.
Seterusnya, mayat kanak-kanak itu telah dimandikan dan dikafankan sebelum dibawa pulang ke masjid Permatang Tok Mahat di Nibong Tebal kira-kira pukul 12.30 tengah hari sebelum dikebumikan. – KOSMO! ONLINE