PERJALANAN pelumba muda negara, Danial Syahmi Ahmad Shahril di pentas Eropah tertutup sepenuhnya apabila memilih untuk kembali bersaing pada Kejuaraan Cub Prix Malaysia 2025.
Pelumba berusia 23 tahun itu menyifatkan musim 2024 adalah tahun mengecewakan kerana dia tidak berupaya untuk menjelmakan podium buat dirinya dan pasukan sewaktu bersaing dalam perlumbaan Kejuaraan Dunia JuniorGP.
Disebabkan itu, impian Danial Syahmi untuk melebarkan sayap bersaing di pentas Moto3 Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) tidak kesampaian dan terpaksa memilih jalan lain.
Biarpun terpaksa akur turun ‘pangkat’ tetapi keputusan itu tidak mematahkan semangatnya untuk bangkit kerana dia kini mendapat tawaran, malah telah menandatangani perjanjian dua tahun bersama pasukan cukup berpengalaman dalam kancah perlumbaan Cub Prix.
“Impian setiap pelumba adalah mahu beraksi ke pentas MotoGP dan saya akui sedih kerana tidak kesampaian. Lebih mengecewakan saya tidak dapat tiket wildcard bersaing di Sepang.
“Untuk mendapatkan tawaran bukan mudah dan saya akur dengan segala yang telah dicapai sewaktu di JuniorGP. Saya mahu menutup kekecewaan tersebut dan melakukan terbaik pada musim 2025 bersama Yamaha.
“Saya mahu bina nama saya dari bawah dan kembali memburu kemenangan dalam Cub Prix. Ketika ini, saya telah menandatangani perjanjian dua tahun bersama bersama mereka.
“Harap mampu mendapat rentak lebih baik sewaktu bersaing di Cub Prix. Semua tahu Cub Prix sangat mencabar dan saya bersedia untuk memberi tentangan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Dalam masa sama, Danial Syahmi mendedahkan mempunyai impian beraksi pada Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) dan masih menunggu berita baik daripada pasukan.
“Ada perancangan ke arah itu tetapi ketika ini saya menanti keputusan pasukan lain. Jika ada tawaran, saya mahu beraksi dalam kategori lebih tinggi seperti 250cc mahupun 600cc,” ujarnya.