fbpx

Haikal terpaksa berehat dua bulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HAIKAL (kanan) terpaksa menarik diri daripada Terbuka Malaysia disebabkan mengalami kecederaan.

PEMAIN beregu lelaki negara, Muhammad Haikal Nazri terus diuji dengan pelbagai cabaran apabila terpaksa berehat sekurang-kurangnya dua bulan selepas dilanda kecederaan pinggul yang serius ketika sesi latihan baru-baru ini.

Kecederaan itu menghalangnya menyertai beberapa kejohanan seperti Terbuka Malaysia bermula 7 hingga 12 Januari ini, Indonesia Masters (21-26 Januari) dan Thailand Masters (28 Januari-2 Februari).

Kehilangan Haikal memberi tamparan besar kepada dia dan pasangannya, Choong Hon Jian yang kini berada di kedudukan No. 21 dunia untuk membuka kempen 2025 dengan langkah positif.

Jurulatih beregu lelaki negara, Tan Bin Shen berkata, mereka sedang menunggu keputusan daripada doktor mengenai tahap kecederaan menimpa anak didiknya itu.

“Sekarang kita perlu tunggu sama ada Haikal perlu menjalani pembedahan atau menjalani rawatan pemulihan untuk kecederaannya. Haikal mengalami koyak otot di bahagian pinggul ketika menjalani latihan.

“Sudah pasti ia satu berita mengecewakan buat Haikal dan Hon Jian kerana mereka terpaksa menarik diri daripada kejohanan pertama di tanah air, Terbuka Malaysia.

“Mereka juga terlepas beberapa kejohanan penting pada Januari. Kemungkinan mereka akan kembali beraksi pada Mac,” kata Bin Shen selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) kelmarin.

Dalam pada itu, Bin Shen yang akan menamatkan tugasnya sebagai jurulatih beregu lelaki kebangsaan selepas lebih empat tahun, berharap pemainnya dapat memberikan prestasi terbaik beraksi di laman sendiri.

“Saya masih ada tugas untuk diselesaikan. Selepas itu barulah saya boleh memikirkan mengenai langkah seterusnya. Sebagai jurulatih, ia adalah detik istimewa dan saya mahu meninggalkan impak yang positif.

“Semua orang mahu lihat Malaysia menang di tanah air sendiri. Saya percaya pemain seperti Aaron Chia, Soh Wooi Yik dan pasangan lain akan berjuang habis-habisan,” ujar Bin Shen yang menyertai pasukan badminton Hong Kong.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI