fbpx

Ganjaran RM10,000 untuk pemberi maklumat pembunuh kucing di UM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lokasi kucing ditemui tanpa empat kaki di kawasan di kawasan UM, baru-baru ini.

PETALING JAYA – Persatuan Pencinta Haiwan Selangor (SPCA) menawarkan ganjaran RM10,000 kepada individu yang menyalurkan maklumat sehingga membawa kepada pengecaman dan pendakwaan ke atas pelaku kes kematian kucing di Universiti Malaya (UM).

Pengerusi SPCA Selangor, Christine Chin berkata, perbuatan kejam itu bukan sahaja mengerikan dan menyayat hati, malah ia jenayah berat di bawah Akta Kebajikan Haiwan Malaysia 2015.

“Kami menggesa sesiapa mempunyai maklumat yang boleh dipercayai untuk tampil ke hadapan.

“Bersama-sama kita pastikan keadilan untuk haiwan yang tidak bersalah serta mencegah tragedi ini di masa depan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, biarpun punca sebenar perbuatan itu tidak diketahui, tragedi itu menekankan keperluan untuk siasatan menyeluruh serta tidak berat sebelah.

“Sama ada kecederaan berpunca daripada tindakan manusia atau interaksi haiwan sesat, penting untuk menentukan fakta dan melaksanakan langkah bagi mencegah bahaya seterusnya,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial berkenaan dua ekor kucing yang ditemui mati dalam keadaan menyayat hati di sebuah fakulti di UM.

Susulan kejadian itu, satu laporan polis dibuat Kesatuan Mahasiswa UM Fakulti Perniagaan dan Ekonomi (MMUM FPE) berkenaan penemuan dua bangkai kucing di fakulti terbabit dalam keadaan dicacatkan dipercayai didera.

Christine berkata, siasatan perlu dibuat dari semua sudut supaya dapat ditangani punca utamanya sama ada kekejaman manusia atau pengurusan haiwan liar yang tidak mencukupi.

“Kempen ganjaran ini terbukti berkesan dalam menangani kekejaman terhadap haiwan.

“Inisiatif sama di Pulau Pinang berjaya menghentikan kejadian keracunan dan ganjaran RM10,000 di UM bertujuan menggalakkan pemberi maklumat, mencegah kejadian di masa hadapan dan meningkatkan kesedaran.

“SPCA juga menggesa komuniti UM untuk terus memantau dan melaporkan aktiviti mencurigakan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI