PETALING JAYA – Bursa Malaysia dijangka mampu meneruskan prestasi cemerlang tahun ini, dengan indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) diunjurkan mencapai paras 1,840 mata pada 2025, berasaskan nisbah pendapatan berbanding harga (PER) sebanyak 16.5 kali.
FBM KLCI menamatkan dagangan terakhirnya tahun lalu pada 1,642.33 mata, 12.9 peratus lebih tinggi berbanding penutup hari terakhir 2023 iaitu 1,454.66 mata.
Firma penyelidikan pasaran, Kenanga Research berkata, suku tahun pertama 2025 akan mengandungi unsur tunggu dan lihat, yang mana pasaran saham ASEAN agak berhati-hati baru-baru ini, mencerminkan ketidakpastian mengenai ancaman tarif Amerika Syarikat (AS), ditambah jangkaan kadar AS yang lebih tinggi.
“Keadaan ini menyerupai tahun 2018, tetapi kali ini Malaysia berada pada asas yang lebih baik dan terlindung secara relatifnya.
“Di tengah-tengah ketidaktentuan, pelabur mungkin tertarik kepada keterlihatan prospek dan pendapatan yang lebih jelas.
“Sektor pengguna akan menikmati faedah daripada kenaikan gaji minimum, ditambah dengan pertumbuhan pelancongan. Secara berstruktur, kecerdasan buatan (AI)/pusat data menawarkan keterlihatan permintaan daripada kenaikan perbelanjaan modal daripada gergasi teknologi global.
“Kami mempunyai keyakinan tinggi dalam sektor utiliti, sarung tangan, tenaga boleh diperbaharui dan teknologi,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Pihaknya meramalkan terdapat asas yang kukuh untuk Malaysia terus menjadi tumpuan.
Antara disebabkan oleh jawatan sebagai Pengerusi ASEAN, yang mana pendigitalan dan perkara berkaitan tenaga akan menjadi kunci.
“Kami percaya Malaysia yang telah menyertai BRICS sebagai negara rakan kongsi akan mengekalkan kedudukan yang agak neutral.
“Kebanyakan tumpuan mungkin datang daripada hubungan yang lebih mesra dengan Singapura, memandangkan pelancaran Zon Ekonomi Khas berserta butirannya tidak lama lagi.
“Kami percaya bahawa prospek ringgit akan lebih stabil dari sini untuk mengakhiri 2025 pada 4.45 berbanding Dolar AS, membantu menarik perhatian kembali ke pasaran Malaysia,” katanya. -KOSMO! ONLINE